Catuan Air Selangor Bermula Esok
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengumumkan pelan catuan bekalan air di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang bermula esok sehingga 31 Mac depan.
Pengarah Eksekutif (Bahagian Operasi), Yusof Saroji berkata, bagaimanapun tempoh berkenaan tertakluk kepada pindaan kerajaan negeri semasa ke semasa bergantung kepada faktor cuaca dan sebagainya.
Yusof berkata, kawasan terlibat akan dibahagikan kepada dua zon melibatkan 60,185 unit rumah iaitu kira-kira 300,00 pengguna.
Menurutnya, konsep akan dilaksanakan di kawasan tersebut adalah dua hari disalurkan air manakala dua hari tiada air.
“Untuk zon yang dijadualkan ada bekalan air, pengguna dijangka mendapatnya bermula jam 4 petang selama 41 jam berikutnya sehingga jam 9 pagi dua hari selepas itu.
“Untuk zon yang dijadualkan tiada air, bekalan tersebut akan dihentikan bermula jam 9 pagi selama 55 jam sehingga jam 4 petang dua hari selepas itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Syabas di sini, semalam.
Yusof berkata, waktu pengguna dapat menikmati bekalan air juga berbeza bergantung kepada lokasi kolam air dengan kawasan pengguna serta paras ketinggian.
Katanya, bagi kawasan yang berlaku kecemasan sebagainya walaupun dijadualkan tiada air ketika itu, Syabas akan menghantar lori tangki untuk membantu.
Beliau berkata, bagi kawasan mempunyai hospital seperti di Bukit Tampoi dan Cheras, Syabas menempatkan lori dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu.
Menurutnya, kawasan Hulu Langat akan mendapatkan bekalan air daripada Loji Langat, Kuala Langat dari Loji Semenyih dan Loji Sungai Labu manakala Sepang dari Loji Sungai Labu.

No comments