Select Menu

Slider

Berita

Lawak & Jenaka

Cute

My Place

Gambar

Racing

Videos


Penerbangan Malaysia (MAS) semalam mengesahkan pesawat MH066 syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan malam kelmarin terpaksa dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi.
Kejadian berlaku ketika pesawat Airbus A330-300 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dengan membawa 271 penumpang.
Ini kali ketiga nasib malang menimpa MAS dalam tempoh 17 hari setelah pesawat Boeing 777-200ER hilang di perairan Vietnam bersama 239 penumpang dan kru pada 8 Mac lalu.
Pada Jumaat lepas, sebuah lagi pesawat MAS MH144 yang membawa 180 penumpang dirempuh sekumpulan itik ketika ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Katmandu, Nepal yang mengakibatkan penutup lensa lampu mendarat pesawat itu pecah.
-


Kerusi Dun Kajang terus kekal milik PKR setelah calonnya, Datin Seri Wan Aizah Wan Ismail menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Keputusan PRK Dun Kajang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Kajang N25, Datuk Hassan Nawawi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi pada jam 9.12 minit malam dengan Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi.

Kemenangan tersebut mengulangi keputusan pada PRU13 lalu apabila PKR menang dengan majoriti 6,824 undi.

Kemenangan PKR telah dijangka awal apabila tempat pengumuman telah mula sesak dipenuhi penyokong PR yang berhimpun sejak 6 petang sebelum keputusan diumumkan.

Menyedari kemenangan dalam tangan, Wan Azizah turut hadir bersama Anwar tepat jam 9 malam bersama pemimpin PR lain antaranya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan pemimpin PR yang lain.

Manakala tiada penyokong BN yang hadir pada pengumuman dilakukan menyaksikan BN tewas kepada PKR sejak dua PRU iaitu pada 2008 dan 2013.

Sementara itu, sejumlah 38,055 pengundi berdaftar di kawasan Dun Kajang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi memilih wakil rakyat yang baharu.

Sebanyak 15 pusat mengundi yang dibuka seawal jam 8 pagi disediakan bagi proses pengundian biasa PRK Kajang dengan 88 peti undi termasuk undi pos.

Proses pengundian ditutup pada jam 5 petang dengan peratusan keluar mengundi adalah 72.1 peratus.

Undi ditolak adalah sebanyak 176 dengan peratus perbezaan undi adalah 19.14 peratus.

PRK Kajang diadakan selepas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas bagi memberi peluang kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Adun Kajang yang baru setelah menggantikan Anwar apabila ketua pembangkang itu tidak layak untuk bertanding kerana gagal dalam kes liwat di Mahkamah Rayuan.

Pada PRU13, Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
-


Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Setelah kekalahan pilihanraya kecil di Kajang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.

Kata Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.

MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.

"Sekali lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.

"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.

Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.

Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.

Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam. Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.
-