Jaguh No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei bukan saja memenuhi misi merangkul kejuaraan ketiga All England, malah berjaya melunaskan dendamnya ke atas pemain No. 2 dunia, Chen Long pada perlawanan akhir di Arena Tertutup Nasional, Birmingham semalam.
Selepas dikecewakan oleh bintang China itu pada final tahun lalu, Chong Wei merampas kembali gelaran dengan melakar kemenangan straight-set 21-13, 21-18 dalam pertarungan yang berlarutan selama 59 minit.
Ini adalah kemenangan ketiga buat jaguh perseorangan negara itu selepas turut muncul juara pada 2010 dan 2011, malah Chong Wei melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan badminton tertua di dunia itu buat kali keenam berturut-turut.
Dalam perlawanan akhir semalam, Chong Wei, yang sebelum ini kalah dalam empat pertemuan terakhir dengan Chen Long bermula baik apabila menang mudah 21-13 di set pertama.
Dia, yang kini mengikat rekod pertemuan 8-8 dengan Chen Long diberi tentangan sengit di set kedua, sebelum akhirnya mengesahkan kemenangan 21-18.
Tahun lalu, Chen Long memusnahkan harapan Chong Wei untuk merangkul gelaran ketiga selepas mengalahkan jaguh No. 1 dunia itu 21-17, 21-18.
Kemenangan terbaharu ini pastinya menyuntik semangat tambahan buat Chong Wei yang bakal berdepan beberapa perlawanan besar tahun ini, termasuk Sukan Asia di Incheon pada September nanti.
No comments