Mizz Nina Bersara Menyanyi
Penyanyi yang terkenal dengan lagu What You Waiting For, Mizz Nina, 33, dalam diam rupa-rupanya mengerjakan ibadat haji di Makkah awal Oktober lalu. Sebaik saja pulang dari Tanah Suci, Jumaat lalu, isteri vokalis Hujan, Noh Salleh, 29, ini mengejutkan pula peminat apabila memutuskan untuk bertudung.
Nina dan suami berserta keluarga berada di Tanah Suci selama kira-kira tiga minggu.
Sejak beberapa hari lalu, spekulasi mengenai imej baru Nina mula diperkatakan apabila dia memuat naik beberapa keping gambarnya mengenakan hijab selepas pulang dari Makkah. Bagaimanapun penyanyi terbabit dikatakan belum bersedia untuk menemui media bagi berkongsi cerita penghijrahannya.
Mengulas lanjut perkara itu, Noh berkata, sebagai suami dia berbangga kerana keputusan yang dibuat Nina adalah atas kerelaannya sendiri, bukan atas paksaan sesiapa.
“Sebagai suami, saya menyokong apa saja keputusan isteri saya. Berhijab itu perkara yang baik, sudah tentu saya bangga dengan tindakannya,” ujar Noh ketika dihubungi HIP, petang semalam.
Minta suami buat lagu sesuai
Apabila penyanyi bertaraf antarabangsa itu mengambil keputusan untuk mengenakan tudung, pastinya ramai yang tertanya-tanya, bagaimana dia mahu menyesuaikan diri dengan muzik yang diperjuangkannya? Tentunya tidak sesuai jika dia masih beraksi lincah di atas pentas dengan membawa imej berhijab.
Menjawab persoalan itu Noh berkata, isterinya akur dengan hakikat berkenaan dan sebagai jalan penyelesaian, dia meminta dirinya sendiri untuk menghasilkan lagu yang bersesuaian dengan penampilannya sekarang.
“Memang dia ada meminta lagu daripada saya sebelum ini dan saya akan cuba menunaikan permintaannya,” kata Noh yang akan kembali bekerja seperti biasa dalam masa terdekat.
Pada masa sama, rata-rata peminat memuji penampilan baru penyanyi yang mula dikenali ketika bersama kumpulan hip hop, Teh Tarik Crew, yang turut dianggotai Taufiq (Fiquetional), Abdul Rahman (Altimet) dan DJ Fuzz, sekitar 1998 itu.
No comments